Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.
Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi ‘pencapaian tinggi’ yang hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketinggian pencapaian akademik sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya. Maka jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma dalam sel setiap individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlaq murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan
Kepentingan Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal dan Cabaran
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.
Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.
Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia. Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.
Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.
Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80—85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
Satu persoalan yang ingin saya kemukakan disini, adakah apa yang kita rancangkan hari ini pastinya nanti dapat melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya’ dan ulama’? Ada bukti yang menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian , pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran kanak-kanak Islam secara umumnya tidak 'advance'? Kenapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-kanak Islam selalu dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara-negara barat umpamanya?. Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala social yang memalukan di kala besarnya? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal berasaskan binaan kurikulum integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?Justru itu suatu yang amat wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.
Definisi Kurikulum untuk Kanak-kanak
Kurikulum seperti yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturan-peraturan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Kurikulum pendidikan bila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah sesuatu yang melibatkan program pembelajaran di dalam atau di luar kelas, aktiviti, peralatan, perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi sesuatu yang dipelajari dan juga proses penilaian. Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan dengan kanak-kanak di peringkat awal perkembangan ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu yang dikaitkan dengan pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya samada di pusat asuhan, di rumah atau di luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dari National Children Beaureu , United Kingdom berpandangan bahwa kurikulum untuk kanak-kanak di peringkat awal umur yang di letakkan di pusat asuhan kanak-kanak adalah merangkumi perkara-perkara berikut:
Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanak-kanak
Segala aktiviti, sikap dan tingkahlaku samada yang dirancang atau tidak , samada digalakkan atau ditegah
Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan juga rutin harian yang dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri
Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah, mempengaruhi dan turut serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak
Penglibatan ibubapa dalam perkara-perkara yang disebutkan (NCB, 1989, p.11)
Bruce dan Meggitt (2005) pula menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat membantu kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong, merangsang dan membantu menggarap potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya (Department for Education and Science, 1990).
Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang dididedahkan kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak ,secara langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya tercetus dari sikap, nilai dan tatasusila yang ditonjolkan oleh guru, orang dewasa, keluarga dan masyarakat sekitar.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.
Ini lah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak. Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan Islam dalam membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya:
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”
sumber : Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif
Prof. Madya Dr. Mastura Badzis
Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (Naib Presiden HELWA)
No comments:
Post a Comment