KAJIAN tabiat dan tingkah laku pemandu di negara ini masih berada pada tahap yang teruk dengan 66 peratus daripada mereka tidak takut ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas.
Ini sekali gus mempamerkan pemandu di negara kita sanggup berdepan risiko kematian dan kecederaan parah di jalan raya kerana keengganan mereka mematuhi peraturan itu.
Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai kebarangkalian ditahan polis atau JPJ menerusi bancian 'Persepsi Ditangkap' mendapati pemandu tidak takut langsung atau tidak kisah dengan penguatkuasaan.
Hasil kajian yang dilakukan sebelum dan selepas dua minggu Ops Sikap pada perayaan Aidilfitri lalu, menunjukkan kesalahan yang paling tinggi tidak takut ditangkap ialah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 25.6 peratus, diikuti memandu melebihi had laju (24.08 peratus), melanggar lampu merah (21.3 peratus), memotong laluan kecemasan (16 peratus) dan memotong kenderaan di garisan berkembar (13 peratus).
Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Farhan Mohd Sadullah, berkata apa yang dapat dirumuskan daripada hasil kajian itu ialah pemandu di negara ini tidak takut ditangkap polis atau JPJ dan tidak mengendahkan undang-undang lalu lintas.
Katanya, teori juga dapat disimpulkan bahawa Malaysia memang memerlukan tindakan penguatkuasaan menerusi operasi khas seperti Ops Sikap sebagai langkah meningkatkan tabiat pemanduan, berhemah serta mendisiplinkan mereka.
"Penguatkuasaan sangat diperlukan kerana jika tidak ada penguatkuasaan ia gagal mengubah kelakuan pemandu. Kita mahu orang ramai berubah. Kita perlu ubah mentaliti pemandu ini yang liat dan angkuh di jalan raya," katanya.
Terkini kerajaan melancarkan Ops Sikap XIX sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Seperti lazim apabila tiba musim perayaan, Ops Sikap dan Ops Bersepadu dilancarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya.
Sejak Ops Sikap dilancarkan pada 1998 lalu, sebenarnya ia tidak banyak mengubah landskap kadar kematian dan kecederaan di jalan raya. Pada dasarnya memang jumlah kematian lebih tinggi pada hari biasa iaitu 17 kematian sehari berbanding musim perayaan 14 kematian sehari.
Jika dibandingkan setiap tahun memang ada penurunan dari jumlah kematian. Contohnya, pada Ops Sikap XVII merekodkan 208 kematian berbanding 225 kematian pada Ops Sikap XIII dan 186 kemalangan maut berbanding 203.
Justeru, Miros bertanggungjawab membantu dari segi penggubalan, pelaksanaan dan pemantauan mengenai keberkesanan penguatkuasaan itu untuk setiap kali operasi dijalankan.
Selepas Tahun Baru Cina, Miros membuat lima penilaian Ops Sikap dan Bersepadu yang sudah dilaksanakan itu, sebelum membantu mencadangkan penambahbaikan pendekatan atau kaedah operasi yang dijalankan pada masa depan.
"Maklum balas daripada JPJ dan polis perlu untuk setiap operasi terbabit. Kita kerap berbincang dan bekerjasama merancang program keselamatan jalan raya, selain hasil kajian itu akan gunakan kaedah terbaik untuk penguatkuasaan. Kita berbincang supaya mereka dapat melakukan penguatkuasaan yang berbeza seperti tidak dilakukan di lokasi sama untuk perangkap had laju.
"Jika dilihat dari segi corak penguat kuasa dilakukan daripada 19 Ops Sikap yang dijalankan, ia hampir sama saja. Seperti di negara maju, anggota penguat kuasanya akan membuat rondaan di atas jalan raya dan sekiranya ada pemandu melakukan kesalahan akan dikenakan saman. Ketika ini, polis di sini sudah mula menggunakan kaedah itu walaupun tidak begitu meluas," katanya.
Kaedah lain yang boleh dilakukan ialah dengan melaksanakan sistem penguatkuasaan automatik (penggunaan kamera) bagi mengurangkan bebanan anggota polis dan JPJ yang terhad.
Sekarang kadar kematian dicatatkan tidak nampak penurunan mendadak. Oleh itu perlu dilakukan perubahan pada kaedah penguatkuasaan supaya ia lebih berkesan dalam membentuk tingkah laku pemandu, menurunkan kadar kemalangan dan kematian di negara ini.
Pada keseluruhannya, ada antara kaedah penguatkuasaan serta kempen yang dijalankan berjaya mencapai matlamatnya dan sesetengahnya kurang berkesan. Contohnya, iklan mengenai kepentingan memakai tali pinggang keledar, ada yang sedar dan ikut nasihat serta mesej yang diketengahkan.
Apa yang penting, tujuan kempen keselamatan jalan raya juga untuk memberi maklumat, kesedaran dan mengubah tabiat memandu. Tanggungjawab itu perlu digalas pelbagai pihak.
Bagi Miros, program jangka pendek dan panjang dilakukan untuk mewujudkan kepentingan terhadap nilai keselamatan walaupun itu adalah cabaran yang sukar kerana pemandu di negara ini kurang berhemah di jalan raya.
Ini berbeza di negara maju seperti Sweden, keselamatan jalan raya dan kepentingan pembangunan mapan sudah tersemat di dalam jiwa mereka dan ini sekali gus tidak menghalang mereka memperkenalkan sebarang undang-undang lalu lintas.
Bagaimanapun, senario itu jauh berbeza di Malaysia apabila kepentingan nilai keselamatan jalan raya terlalu kurang. Oleh itu, Miros menyahut cabaran dengan menyediakan pelbagai program menanam kesedaran dan kepentingan nilai keselamatan itu secara berterusan.
Antaranya, tumpuan dijuruskan kepada kanak-kanak yang bakal peneraju generasi akan datang untuk diterapkan nilai kepentingan keselamatan jalan raya dan perkara berkaitannya. Oleh itu, mulai tahun lalu, program pendidikan keselamatan jalan raya diadakan sebagai elemen kurikulum (dalam mata pelajaran bahasa Malaysia) untuk murid Tahun Satu yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, selain mengubah semula kurikulum pemanduan.
Kurikulum itu juga akan diperluaskan kepada murid Tahun Dua hingga Empat, mulai suku pertama tahun ini, manakala projek perintis di beberapa sekolah terpilih kepada murid Tahun Tiga dan Lima serta Tingkatan Satu dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara mulai tahun depan.
Kanak-kanak dianggap seperti rebung yang mudah dilentur, berbanding pemandu dewasa sekarang sudah menjadi buluh. Oleh itu sukar untuk membentuk mereka dan biasanya tidak begitu mematuhi peraturan lalu lintas. Ini hanya dapat diubah dengan cara penguatkuasaan serta memperhebatkan kempen kesedaran secara berterusan.
Kemalangan memang boleh berlaku dalam apa juga caranya dan banyak faktor yang mempengaruhinya termasuk dari segi keadaan kenderaan, jalan persekitaran, bentuk jalan raya, cuaca dan tabiat serta tingkah laku pemandu sendiri. Namun tragedi kemalangan dapat dielakkan pada kadar sifar jika masing-masing tahu tanggungjawab mereka.
No comments:
Post a Comment